5,921,127
Subscribe To Our Maillist
Email :
1131118132203.gif1131118132217.gif1131118132131.gif1121130164201.gif1131118132152.gif

Dana RM10j bantu PKS terjejas banjir bina semula perniagaan

[ 09-01-2015 ]
Dana RM10j bantu PKS terjejas banjir bina semula perniagaan

KUALA LUMPUR: Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terbabit bencana banjir ditawarkan bantuan menerusi Dana Kecemasan PKS (SMEEF) dengan peruntukan keseluruhan RM10 juta.

Dana itu bertujuan membantu meringankan beban usahawan terjejas akibat bencana untuk membangunkan semula perniagaan mereka. SMEEF yang diuruskan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), akan disalurkan dalam bentuk geran dan pinjaman mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim, berkata usahawan yang terbabit bencana seperti banjir, ribut, kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh ditawarkan geran hingga RM20,000 manakala pinjaman antara RM50,000 hingga RM100,000.

SMEEF bertujuan membantu PKS memulihkan perniagaan menerusi pembelian mesin baharu dan terpakai, modal kerja serta ubahsuai premis yang terjejas akibat bencana alam.

"Bagi bencana banjir yang melanda negara ketika ini, SMEEF akan disalurkan dalam bentuk hibrid iaitu geran + pinjaman mudah bagi meringankan beban syarikat PKS terbabit.

"Untuk pinjaman, kami menawarkan kadar keuntungan atau faedah tiga peratus setahun dan tempoh pembayaran balik hingga lima tahun tidak termasuk tempoh bertenang hingga enam bulan," katanya ditemui di sini hari ini.

SMEEF menawarkan penyaluran dana hingga 90 peratus daripada nilai pembelian mesin atau peralatan baharu dan 65 peratus mesin atau peralatan terpakai yang berusia tidak lebih lima tahun; 90 peratus bagi kos pengubahsuaian premis; dan 90 peratus bagi modal kerja.

Setakat kini SME Corp sudah menerima 17 permohonan dengan 15 permohonan daripada syarikat PKS di Kelantan, manakala satu permohonan masing-masing dari Pahang dan Perak.

Antara syarat kelayakan bagi syarikat yang layak memohon SMEEF ialah ia mesti diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau didaftarkan dalam Ordinan Perniagaan 1956; memiliki lesen premis sah yang dikeluarkan oleh PBT; menyediakan bukti akibat bencana alam menerusi surat yang dikeluarkan oleh pegawai daerah atau satu salinan laporan polis; dan beroperasi di dalam kawasan yang diisytiharkan lokasi bencana oleh Majlis Keselamatan negara (MKN) atau pegawai daerah.